fb fb fb fb fb

1,000 umat Islam sertai Majlis Qiamullail Tahun Baharu

Foto facebook Datuk Dr Naim

PUTRAJAYA, 1 Januari - Majlis Qiamullail Tahun Baharu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini dihadiri hampir 1,000 umat Islam, bersempena dengan sambutan ambang Tahun Baharu 2024 dan sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

Majlis qiamullail berjemaah kira-kira pukul 4.30 pagi itu dimulakan dengan solat sunat tahajud, solat sunat taubat dan solat hajat yang dipimpin imam jemputan Ustaz Wan Ammar Hadi.

Seterusnya acara menampilkan aktivis Palestin, AbdelRahman Ibrahim bersama-sama Pengasas dan Penasihat Utama Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) Dr Hizul Azri dalam slot Ceramah Subuh 4 GAZA.

Program diteruskan dengan solat subuh berjemaah yang dipimpin oleh Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nabil Mirza.

Acara yang merupakan sebahagian daripada program Ambang Gema Syukur anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalannya Dr Zulkifli Hasan.

Mohd Na'im berkata aktiviti kerohanian dan keagamaan yang telah disusun pihak Jakim sebagai alternatif kepada masyarakat Islam di negara ini yang menjadi kelaziman menyambut tahun baharu Masihi, dapat menarik kehadiran lebih 800 anak muda pada program berkenaan.

"Program pengisian ini kebanyakannya dihadiri anak-anak muda terutama daripada beberapa institusi pengajian tinggi tempatan.

"Bagi tahun ini, saya berharap pihak masjid dapat menjalinkan lebih banyak kolaborasi bersama badan-badan bukan kerajaan untuk menganjurkan program yang dapat menarik minat anak muda kerana masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadat, tetapi juga tempat berkumpul pelbagai lapisan umur," katanya kepada pemberita selepas majlis Qiamullail itu.

Beliau berkata pihaknya juga akan memastikan agensi-agensi bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) khususnya Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) mengadakan pelbagai program untuk golongan belia tahun ini.

TETITIA YUSOFF