KANDANG, 4 November - Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama) beri jaminan akan sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Imigresen berhubung isu perkahwinan rakyat tempatan dengan warga asing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata setiap perkahwinan membabitkan warga asing perlu mendapatkan perintah pendaftaran di mana-mana mahkamah syariah.
Menurut Na'im pasangan berkenaan perlu memfailkan perkahwinan mereka di mahkamah syariah bagi mendapatkan perintah pendaftaran pernikahan.
"Jadi untuk pengesahan pernikahan memang akan buat permohonan kebenaran bagi mendapatkan perintah pendaftaran di Mahkamah Syariah.
"Ketika proses pendaftaran terbabit antara dokumen diperlukan kelulusan daripada Jabatan Imigresen, justeru saya tak nampak sebenarnya, maknanya kalau dikatakan tanpa dokumen daripada Jabatan Imigresen, Mahkamah Syariah tidak akan menerima pendaftaran", katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Peringkat Zon Selatan di Masjid As-Salimin, di sini.