fb fb fb fb fb

Konflik di Gaza: Malaysia terus guna pengaruh di peringkat antarabangsa

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

PUTRAJAYA, 4 November- Malaysia akan terus memainkan peranan serta menggunakan pengaruhnya bagi mencari penyelesaian terbaik berkaitan konflik yang berlaku di Gaza.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata usaha berterusan dibuat menerusi lawatan ke India esok, seterusnya ke Qatar dan negara-negara luar yang lain untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza oleh rejim Israel.

"Mungkin ada yang menganggap Malaysia sebagai sebuah negara kecil, tetapi dalam konteks pengaruh Malaysia dalam kalangan negara-negara ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), G77, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Global South, nama Malaysia sentiasa diberikan keutamaan dan suara Malaysia seringkali diminta dalam kalangan negara-negara ini," katanya kepada media dalam Program Diplomasi Awam, Hari Wisma Putra 2023 di Putrajaya.

Dalam pada itu, beliau mengakui negara akan turut terkesan dengan keputusan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) yang meluluskan rang undang-undang (RUU) berhubung sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin.

Ini termasuk beberapa negara lain yang turut menyatakan sokongan terhadap perjuangan Hamas dalam isu Palestin.

"Sebab itu saya katakan bahawa kenyataan saya beberapa hari yang lalu iaitu kita sedang berusaha sepatutnya seluruh dunia termasuk Amerika, mencari jalan bagaimana kita hendak selesaikan masalah ini dengan kadar yang segera.

"Takkan kita hendak membiarkan pembunuhan yang berleluasa, kita membenarkan apa yang berlaku, dari segi kadar kematian yang ada. Apa pun kita akan melihat apakah langkah-langkah seterusnya dan Perdana Menteri juga telah pun dimaklumkan dan beliau sedang mengikuti perkembangan ini.

Jelasnya, Malaysia dan negara lain akan turut menyuarakan isu tersebut berkaitan sokongan kepada Hamas dan tidak berpihak kepada AS.

ROSLINA BINTI DIN