fb fb fb fb fb

Kaedah pelepasan telur nyamuk Aedes berWolbachia, cegah kes demam denggi - JKNP

KUANTAN, 7 Januari- 876,400 biji telur nyamuk Aedes berWolbachia telah dilepaskan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) di dua lokaliti dalam daerah Kuantan sehingga hari ini.

Tindakan itu bagi mencegah dan mengawal jangkitan kes demam denggi.

Ia melibatkan 582,400 biji telur di PPRS Pinggiran Putra menerusi tujuh siri pelepasan, dan sebanyak 298,000 biji telur di Taman Impianku melalui lima siri pelepasan, sejak 6 Oktober 2022.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, tahun lalu, PPRS Pinggiran Putra tidak merekodkan sebarang kes demam denggi selepas pelaksanaan projek berkenaan berbanding enam kes sehingga 18 Ogos 2022.

Keputusan sama turut dicatatkan di Taman Impianku apabila tidak merekodkan sebarang kes demam denggi.

“Pelepasan Aedes berWolbachia pertama di negeri Pahang bermula pada 6 Oktober 2022. Sebanyak 14 siri pelepasan telur Aedes berWolbachia akan dilakukan di setiap lokaliti. Tempoh pelaksanaan projek pelepasan ini ialah selama dua tahun lima bulan dan dijangka selesai pada bulan Mac 2025," kata Fakhruddin kepada pemberita RTM pada program Projek Pelepasan Nyamuk Aedes berWolbachia di Taman Impianku, Kuantan.


(Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan
Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff)

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata sehingga 6 Januari 2023, kadar penetasan nyamuk Aedes berWolbachia di kedua-dua lokaliti ini adalah sangat baik iaitu melebihi 90%.

“Kita harapkan dengan projek ini, kita boleh mengawal demam denggi di dua lokaliti ini. Jadi, kita mulakan di dua lokaliti ini dahulu kemudian kalau berjaya, kita akan mulakan di lokaliti lain dan daerah lain pada masa akan datang," tambah Nor Azimi kepada pemberita RTM.

Berdasarkan kajian rintis di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sehingga kini, projek yang telah bermula di Malaysia sejak tahun 2019 melibatkan tujuh negeri termasuk Pahang itu terbukti berjaya menunjukkan penurunan kes demam denggi antara 40% hingga 80%.

Rekod tahun lalu menunjukkan sebanyak 976 kes demam denggi dilaporkan di Pahang berbanding 428 kes bagi tempoh sama pada tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 548 kes dengan satu kematian dilaporkan bagi tahun 2022 berbanding tiga kes kematian pada 2021.

Media Baharu