fb fb fb fb fb

Kadar zakat fitrah di Kelantan RM7

KOTA BHARU, 28 Mac - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini kekal RM7.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz bagaimanapun berkata mana-mana individu yang ingin membuat bayaran RM14 atau RM21 berdasarkan keselesaan mengikut harga beras yang dimakan adalah digalakkan.

“Kadar nisab zakat harta bagi negeri Kelantan tahun 1443H/2022M pula sebanyak RM20,366 untuk haul Ramadan 1443H hingga Ramadan 1444H,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Mohamad Rizam berkata pembayaran zakat boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan kaunter baitulmal di masjid-masjid bandar dan jajahan atau menerusi MAIK e-Zakat Payment di zakat.e-maik.my.

“Pembayaran zakat boleh dibuat melalui institusi perbankan yang dilantik oleh MAIK sebagai ejen kutipan zakat iaitu Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB, RHB, AmBank, Maybank dan Bank Rakyat. 

(Foto fail)

“Selain itu, boleh juga menerusi Standard Chartered, Affin Bank Berhad, HSBC Bank Berhad, EON Bank Berhad, Al-Rajhi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, OCBC Al-Amin dan Agrobank,” katanya.

Tengku Mohamad Rizam berkata, ketetapan kadar zakat fitrah dan nisab zakat harta itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

“MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk mengambil maklum tentang ketetapan ini dan bersama-sama menghidupkan Ramadan tahun ini dengan amalan soleh dan tanggungjawab berzakat sebagaimana difardukan,” katanya.

Media Baharu