fb fb fb fb fb

Kadar tarif elektrik kekal, kerajaan prihatin, utamakan kebajikan rakyat

SINTOK, 31 Januari - Keputusan kerajaan mengekalkan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna domestik di Semenanjung, bagi tempoh bermula 1 Februari ini hingga 31 Disember 2024 merupakan satu langkah yang tepat dan berkebajikan.

keputusan tersebut menunjukkan keprihatinan kerajaan yang sentiasa menjaga kepentingan dan mengutamakan kebajikan rakyat yang kini berdepan dengan pelbagai musibah dan cabaran, terutamanya kenaikan kos sara hidup.

Pengarah Institut Kajian Indonesia, Thailand, Singapura, Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Azman Khamis berkata langkah itu juga menunjukkan kerajaan Malaysia sentiasa terkehadapan dalam aspek menjaga kebajikan rakyat meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran dan kekangan berbanding negara lain.

"Satu keputusan yang begitu baik dimana dalam keadaan pandemik COVID-19, ekonomi yang tidak menentu ini dan kita melihat pelbagai musibah yang dihadapi di Malaysia khususnya, apabila kerajaan mengekalkan tariff elektrik, bermakna tiada kenaikan.

"Ini merupakan satu pendekatan yang dibuat oleh kerajaan khususnya daripada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan saya melihat rata-rata masyarakat khususnya di pedalaman begitu gembira dengan pendekatan yang dibuat oleh kerajaan, merupakan satu pendekatan antara pemimpin bersama rakyat, denyut nadi rakyat", katanya.

28 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan menerusi laman facebooknya berkata, Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik lebih 9 juta pengguna domestik.

Sehubungan dengan itu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan subsidi sebanyak lebih RM700 juta agar pengguna-pengguna domestik tidak terkesan.

Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan keputusan pengekalan tariff elektrik dibuat meskipun berlaku peningkatan kos bahan api dan kos penjanaan lain, sebanyak RM1.67 bilion, antara 1 Julai hingga 31 Disember tahun lalu, akibat kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran hingga mencecah AS$200 per tan.

Bagi mengekalkan kadar tarif berkenaan, kerajaan memperuntuk dana sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos berkaitan.

Media Baharu