fb fb fb fb fb

335 penunggang motosikal diambil tindakan

GEORGE TOWN, 31 Januari - 335 penunggang motosikal diambil tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang selepas didapati melakukan pelbagai jenis kesalahan.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata menerusi operasi sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang dan Plaza Tol Juru, terdapat penunggang motosikal dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Antara kesalahan lain ialah tamat tempoh lesen, tiada cukai jalan dan penggunaan dadah.

"Jadi sempena dengan Op JPJ sempena Tahun Baharu Cina kali ini kita nak pastikan penunggang motosikal khususnya dapat menunggang dengan cukup syarat, ada lesen memandu, cukai jalan dan memakai topi keledar. Ini semua kesalahan yang lazim dilakukan penunggang motosikal. Jadi tujuan kita buat operasi ini bukan nak cari salah tetapi kita nak penunggang sentiasa memastikan diri dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau ditemui pada Op JPJ di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang yang turut disertai Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Untuk rekod, statistik kemalangan maut dalam negara menunjukkan tragedi melibatkan motosikal mencecah hampir 60% di jalan raya.

Media Baharu