KUALA TERENGGANU, 31 Januari - Sebanyak 390 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu sepanjang operasi sempena Tahun Baharu Cina bermula 25 Januari hingga 10 malam tadi.
Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata ia adalah hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 2,301 kenderaan sepanjang tempoh enam hari itu.
Antara kesalahan yang paling banyak dikesan ialah penggunaan cermin gelap, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada Lesen Memandu Kompeten dan tiada Lesen Vokasional.
"Operasi malam tadi juga berjaya mengesan tiga individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan AADK," katanya.
Beliau ditemui pada Op Tahun Baharu Cina Peringkat JPJ Negeri Terengganu di Jambatan Sultan Mahmud di sini.
Seramai 127 anggota pelbagai agensi terlibat dalam operasi bersepadu berkenaan melibatkan JPJ, Polis Diraja Malaysia, AADK dan Jabatan Alam Sekitar.