fb fb fb fb fb

Kadar pengangguran Malaysia menurun pada April 2022

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 9 Jun- Kadar pengangguran negara menurun pada April tahun ini iaitu 3.9 peratus, merupakan kadar pengangguran di bawah empat peratus yang pertama direkodkan, sejak pandemik COVID-19 melanda negara pada Mac 2020.

Ia menurun berbanding 4.1 peratus pada bulan sebelumnya,menurut Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, April 2022 menurut Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, April 2022 dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memaklumkan, trend pengangguran menurun untuk sembilan bulan berturut-turut.

"Kedudukan tenaga buruh pada bulan tersebut terus mengukuh dengan peningkatan sebanyak 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 16.50 juta orang, berbanding 16.44 juta orang pada Mac.

“Kadar penyertaan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.2 mata peratus kepada 69.4 peratus daripada 69.2 peratus pada Mac 2022, menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, aktiviti ekonomi terus berkembang berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa mulai 1 April 2022.

(FOTO HIASAN)

"Trend penduduk bekerja kekal positif dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.5 peratus dengan jumlah tenaga kerja 15.85-juta, pada tempoh sama.

"Kategori pekerja yang merangkumi komposisi terbesar jumlah penduduk bekerja, iaitu sebanyak 76.3 peratus, meningkat 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 12.09 juta orang, berbanding 12.06 juta orang yang direkodkan pada Mac" menurut kenyataan itu.

Dalam sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus mengekalkan trend positif terutama dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman serta bidang kesihatan dan kerja sosial.

Katanya, penduduk bekerja sendiri terus bertambah sebanyak 1.2 peratus kepada 2.72 juta orang pada April (Mac: 2.69 juta).

“Peningkatan ini sebahagiannya adalah disebabkan oleh lebih banyak aktiviti perniagaan sempena sambutan Ramadan dan persiapan menjelang Aidilfitri pada bulan tersebut.

"Ia selari dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa yang menggalakkan sektor pelancongan dan industri berkaitan pelancongan untuk meneruskan aktiviti mereka, katanya.

Media Baharu