fb fb fb fb fb

Capai tahap membanggakan: Jabatan Penjara lahir ramai banduan berkemahiran

(Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 243 pegawai dan kakitangan
Jabatan Penjara di Auditorium Jabatan Penjara di Kajang, pada Khamis)

KAJANG, 9 Jun- Kejayaan Jabatan Penjara melahirkan ramai banduan berkemahiran, disifatkan sebagai membanggakan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu dibuktikan menerusi dua pengiktirafan yang diterima Jabatan Penjara di peringkat antarabangsa.

Pengiktirafan itu ialah Anugerah Kraf Antarabangsa (ICA) 2021 kali ke-5 yang dinobatkan Lifetime Achievement for Contribution to the Sustainable Development of Craft Sector and Social Inclusion dan penyertaan di London Craft Weeks Mei lepas yang mempamerkan hasil tenunan penghuni penjara.

"Kita nampak dari segi peningkatan perkara dilakukan Jabatan Penjara sudah mencapai satu tahap boleh dibanggakan kerana ramai penghuni penjara sudah mula diberikan kemahiran baharu yang boleh digunakan selepas keluar dari penjara.

"Ini sesuatu yang baik sekali dan saya difahamkan dengan ada program seperti ini jumlah mereka yang kembali ke penjara itu juga sudah menurun," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 243 pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara di Auditorium Jabatan Penjara di Kajang, pada Khamis.

Menurut beliau, Jabatan Penjara kini mengalami transformasi dari pelbagai aspek iaitu tahanan, rawatan, layanan mahupun pemulihan menerusi program yang dapat memberi manfaat kepada banduan dan juga masyarakat.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, Ketua Pengarah Penjara Datuk Nordin Muhamad berkata transformasi Jabatan Penjara melibatkan pelbagai aspek utama iaitu keselamatan, pemulihan, layanan dan rawatan, reintegrasi serta percubaan dan koreksional komuniti. 

(Hamzah (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara Ketua Pengarah Penjara,
Datuk Nordin Muhamad dan Pengerusi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama),
Tan Sri Abdul Aziz Zainal di Auditorium Jabatan Penjara di sini pada Khamis)


Beliau berkata kerjasama pengusaha dan pemilik pelbagai sektor iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan dan perkhidmatan yang menyediakan asrama di luar penjara yang boleh disifatkan sebagai ‘Pusat Koreksional Komuniti’ mampu menghasilkan Orang Diparol, Orang Diselia, Orang Bebas Berlesen serta bekas banduan yang menyertai Program Penempatan Semula. 

"Penjara termasuklah bagi zon tengah iaitu Selangor dan Negeri Sembilan mempunyai jumlah penghuni paling ramai berbanding zon lain iaitu melebihi 16,000 orang atau 26.2 peratus daripada jumlah keseluruhan penghuni (61,435 orang).

"Walau bagaimanapun melalui usaha dan kolaborasi dengan pelbagai pihak berasaskan latihan pekerjaan serta jaminan pendapatan untuk banduan dan bekas banduan memulakan kehidupan sebenar membolehkan kadar residivis (jenayah berulang) bagi keseluruhan banduan yang menyertai program pemulihan di luar penjara hanyalah 0.39 peratus," katanya. 

Media Baharu