fb fb fb fb fb

Penggunaan teknologi terkini, pacu industri pertanian negara - Ronald

(Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tengah) menyaksikan majlis
menandatangani MOU antara Hoogendoorn Growth Management dan Idea Company Sdn Bhd)

KUALA LUMPUR, 9 Jun - Pembangunan sektor agromakanan berasaskan teknologi pertanian pintar, berpotensi memangkin industri pertanian negara.

Ke arah itu, lebih ramai penggiat industri pertanian digalak menjalin kerjasama strategik bagi mewujudkan ekosistem pertanian yang menggalakkan pembinaan kapasiti, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penggunaan Internet of Thing (IoT).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata langkah itu juga diyakini berupaya mempercepatkan penggunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), selain dapat memacu pemodenan industri yang lebih pesat serta menggalakkan penggunaan teknologi dalam kalangan masyarakat petani di negara ini.

Malah, Dasar Agro-Makanan Negara 2021-2030 (NAP 2.0) juga menekankan pemodenan industri dan pertanian pintar sebagai pengubah permainan utama ke arah kejayaan transformasi sektor agromakanan.

  
(Foto hiasan)

"Teknologi moden ini mampu menyediakan ladang dengan keadaan operasi yang kondusif, langkah penjimatan kos dan peningkatan kemudahan. Malah, beberapa ladang di Malaysia telah pun melaksanakan teknologi pertanian pintar seperti Internet of Things (IoT), sensor dan dron.

"MAFI sentiasa menggalakkan penggunaan teknologi terkini dalam pertanian. Kami sentiasa mencari cara untuk melibatkan pelbagai pakar subjek daripada sektor awam dan swasta untuk memudahkan pengeluaran tanaman yang lebih baik dengan cara yang paling cekap yang mungkin, supaya semua orang mendapat manfaat," kata beliau semasa berucap pada majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara pemilik inovatif sistem automasi proses dalam hortikultur rumah hijau,Hoogendoorn Growth Management dan sebuah syarikat tempatan Malaysia, Idea Company Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Tambah Ronald, kerjasama tersebut sejajar dengan aspirasi dan dasar sektor agromakanan negara ke arah pertanian yang lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, di samping mengutamakan keselamatan makanan dan pemakanan dalam negara.

Media Baharu