KANGAR, 23 April- Perkembangan dalam arus pembangunan teknologi digital memberikan kesan perubahan yang ketara terhadap landskap ekonomi dan pengindustrian di seluruh dunia termasuk di Perlis.
Menurut data sehingga 31 Disember tahun lalu, liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di Perlis mencapai kadar 91.4 peratus.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mewakili Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, perkara itu mengambil kira kadar pembangunan infrastruktur jalur lebar di Perlis.
Baginda turut berharap kerajaan negeri dapat mengambil langkah untuk meneroka peluang pelaburan baharu dalam bidang-bidang berteknologi tinggi yang boleh memberikan impak besar terhadap ekonomi negeri.
"Dalam hubungan ini juga, beta mengambil maklum bahawa kerajaan negeri Perlis sedang menyediakan blueprint dan pelan tindakan bandar pintar negeri Perlis yang bakal menjadi panduan utama dan hala tuju di peringkat negeri ke arah merealisasikan bandar pintar.
"Beta percaya, apabila hasrat bandar pintar dapat direalisasikan, ia akan meningkatkan kualiti hidup penduduk serta menyediakan kaedah bagi mengatasi cabaran perbandaran melalui penggunaan teknologi," titah baginda ketika Perasmian Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kompleks Dewan Undangan Negeri, di sini.
Baginda turut bertitah agar kerajaan negeri terus komited untuk menawarkan lebih banyak perkhidmatan secara dalam talian khususnya kepada rakyat Perlis dalam pelbagai sektor perkhidmatan.
Persidangan akan berlangsung selama tiga hari dan berakhir Khamis ini.