fb fb fb fb fb

Kadar fi program rekalibrasi dikekalkan RM1,500

PUTRAJAYA, 27 Januari - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bercadang untuk mengubah kadar fi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata caj semasa bernilai RM1,500 itu kekal, dan tiada sebab untuk diubah.


(Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa sidang media
selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2023
di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya di sini, hari ini)

"Setakat taklimat oleh Jabatan Imigresen, proses program ini berjalan seperti yang kita hasratkan. Tidak ada satu lonjakan permasalahan besar sehingga perlukan anjakan polisi atau sistem berkenaan dan sebagainya. Buat masa ini, kita tidak melihat sebarang lonjakan masalah yang besar berhubung dasar pelaksanaan program itu," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu KDN di Putrajaya.

Data berkenaan program itu akan dikumpulkan minggu depan selain perkembangan program akan turut dimaklum kepada Jemaah Menteri.

Saifuddin berkata, menerusi program itu, majikan juga boleh menjimatkan kos dari segi latihan pekerja kerana sumber pekerja asing itu sudah ada dalam negara.

10 Januari lalu, Datuk Seri Saifuddin memaklumkan Pelan Rekalibrasi yang berakhir 31 Disember tahun lalu, diteruskan selama setahun secara serta merta.

Tahun lalu, RM700 juta, nilai hasil pendapatan negara berjaya direkodkan menerusi pelan tersebut sekaligus, memenuhi kekurangan tenaga kerja dalam sektor ekonomi negara.

Media Baharu