fb fb fb fb fb

Usaha bersepadu meredakan kenaikan harga makanan dan minuman - Rafizi

KUALA LUMPUR, 27 Januari - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akan mengadakan pertemuan bersama wakil-wakil pengusaha restoran dan peniaga makanan dalam masa terdekat.

Perbincangan dua hala itu akan memfokuskan kepada langkah-langkah yang boleh dilaksanakan bagi menangani kenaikan harga makanan dan minuman.

Rafizi menerusi kenyataan hari ini menjelaskan, beliau sedia maklum mengenai cabaran pengusaha restoran yang berdepan kenaikan kos lain.

Ini termasuk peningkatan kos pekerja ekoran pelaksanaan gaji minimum RM1,500.

Ujarnya, beberapa langkah sedang diperhalusi bagi membantu peniaga dan pengusaha restoran termasuk potensi menyebarluas model tenaga kerja sambilan dalam sektor restoran dan kedai makan.

Ia sebahagian dari usaha menyelaraskan pasaran kerja dengan tuntutan sektor ekonomi, ke arah penstrukturan semula ekonomi negara.

Menurut beliau, sebagaimana perangkaan inflasi yang diumumkan Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) baru-baru ini, walaupun inflasi bagi Disember 2022 mereda kepada 3.8 peratus berbanding 4 peratus dalam bulan sebelumnya, kategori harga di restoran dan hotel adalah satu-satunya kategori harga yang masih belum mereda.

Ia mengalami kenaikan 7.4 peratus pada Disember 2022 berbanding 7 peratus bulan sebelumnya.

Rafizi turut menyambut baik pandangan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan mengenai peranan yang perlu dimainkan oleh kerajaan, peniaga dan pengguna dalam menangani isu berkenaan.

Pandangan beliau selari pendirian Kerajaan yang menyarankan pengguna agar peka kepada kenaikan harga makanan dan minuman, selain bijak memilih kedai dan restoran yang menawarkan harga lebih berpatutan.

Media Baharu