fb fb fb fb fb

Kabinet lulus draf RUU Larang Ahli Parlimen Bertukar Parti

KUALA LUMPUR, 14 Julai- Kabinet telah meluluskan draf Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, pada Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU itu yang dilantik oleh Dewan Rakyat pada 11 April 2022 telah memuktamadkan pindaan kecil dalam draf penyata pada 12 Julai 2022 dan mengesahkan draf penyata berkenaan.

“Pemakluman mengenai draf RUU ini dalam mesyuarat jemaah menteri semalam berjalan lancar melalui suatu nota jemaah menteri dan tiada persoalan dibangkitkan serta nota itu dipersetujui sebulat suara oleh jemaah menteri,” katanya dalam kenyataan.

(Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar / Foto BERNAMA)

Beliau berkata surat rasmi telah dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun bagi mendapatkan kelulusan untuk RUU itu dan draf penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dibentangkan di meja Ahli Dewan Rakyat pada 18 Julai ini sebagai rujukan dan penelitian awal.

Beliau turut mengulangi komitmen kerajaan untuk bacaan kali kedua draf RUU itu diadakan pada 27 dan 28 Julai, tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Media Baharu