fb fb fb fb fb

K-KOMM menerusi MDEC cadang wujud kolaborasi dengan AIM

KOTA BHARU, 22 Oktober- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bercadang mewujudkan satu bentuk kolaborasi bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk memperkasa usahawan wanita dalam menguasai dunia digital.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa berkata, hasrat itu selari dengan hasil sesi meja bulat menteri di Persidangan Plenipotensiari Telekomunikasi Antarabangsa 2022 (ITU PP22) di Bucharest, Romania baru-baru ini.


(Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa)

Menerusinya pihaknya antara lain, bersetuju memperkasa golongan wanita dalam bidang pendigitalan selain kegiatan sektor ekonomi digital.

Jelas beliau, platform AIM berpotensi memandangkan golongan wanita sudah mempunyai asas dalam bidang perniagaan diceburi.

1000 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di seluruh negara akan di manfaatkan sebaiknya bagi tujuan itu.

"Di semua pusat ekonomi digital ini saya percaya ada amanah ikthiar di sampingnya jadi seluruh negara boleh guna serentak kemudahan di PEDi dan MDEC memberikan content dan juga menyediakan peruntukan bagi membolehkan program - program untuk melatih on boarding," katanya selepas merasmikan Himpunan Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia Wilayah Kelantan di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala, Kota Bharu.

Mengulas lanjut, Tan Sri Annuar berkata pihaknya juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta di setiap negeri untuk membina Mercu Ekonomi Digital (MEDi).

Kewujudannya sekali gus memberi akses lebih luas kepada usahawan AIM untuk memasarkan produk mereka di peringkat global.

Ini merangkumi penggunaan e-wallet serta pemasaran di platform-platform digital menggunakan rangkaian e-dagang yang sedia ada sama ada tempatan atau antarabangsa seperti Shopee dan Lazada.

Media Baharu