fb fb fb fb fb

JWP tubuh pasukan petugas pacu ekonomi Labuan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa

LABUAN, 1 April - Tiga pasukan petugas ditubuh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam usaha merancakkan semula ekonomi Labuan.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata pasukan petugas berkenaan akan menumpukan kepada pembangunan pelancongan, pembinaan jambatan Labuan-Menumbok serta meningkatkan aktiviti pemindahan kargo kapal ke kapal (STS).
 
"Perkembangannya agak baik dan diperingkat jawatankuasa kerja juga sedang berjalan dengan baiknya dan kita hendak pastikan supaya isu-isu ini akhirnya memberi impak yang positif dari sudut ekonomi kepada sosioekonomi Labuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat mengenai Labuan Liberty Port oleh pengendali pelabuhan itu, Megah Port Management Sdn Bhd, di sini pada Ahad.

Dr Zaliha melahirkan keyakinan terhadap masa depan Labuan yang menerima lawatan kerap daripada Menteri Kabinet, selain dua timbalan perdana menteri, menunjukkan petanda baik untuk prospek pulau bebas cukai berkenaan.

Beliau turut menyatakan komitmen bagi memacu sektor pelancongan Labuan termasuk penambahbaikan terhadap acara pelancongan terkenal iaitu Labuan International Sea Challenge (LISC).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN