KUALA LUMPUR, 1 April - Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menghargai sepenuhnya Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, bantuan yang akan disalurkan pada 5 April ini merupakan manfestasi penghargaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada usaha keras penjawat awam selama ini dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah.
"Bantuan ini juga bukti Perdana Menteri sentiasa terbuka mendengar pandangan daripada CUEPACS walaupun pada awalnya terdapat khabar yang memaklumkan kerajaan tidak akan memperuntukkan sebarang bantuan khas untuk Aidilfitri.
"Memandangkan penjawat awam sebelum ini telah menerimanya pada bulan Februari lalu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, sebelum ini Cuepacs telah mencadangkan kepada kerajaan agar tradisi bantuan khas untuk Aidilfitri diteruskan pada tahun ini walaupun penjawat awam telah menerima Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam RM2,000 pada Februari lalu.
"Alhamdulillah, pada akhirnya Perdana Menteri telah memberi pertimbangan yang wajar bagi membantu penjawat awam.
"Cuepacs yakin pertimbangan yang diberikan kerajaan pada hari ini memberikan kelegaan kepada semua penjawat awam," katanya.
Katanya, pada masa sama Cuepacs memahami situasi semasa dan keputusan yang dibuat kerajaan pada keadaan ekonomi ketika ini.
Ujarnya, daripada sudut yang luas, pemberian bantuan khas kewangan itu secara tidak langsung memberi impak positif kepada ekonomi dan rakyat apabila wang tersebut beredar ke pasaran.
"Bantuan kewangan tersebut sudah pasti akan dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan dan ia akan memanfaatkan peniaga-peniaga kecil, pasar raya besar dan sektor-sektor ekonomi yang lain," katanya kenyataan itu lagi.