fb fb fb fb fb

Jumlah pengangguran dalam kalangan belia turun 5.3%

TUARAN, 16 Julai - Kadar pengangguran dalam kalangan belia yang berusia 15 hingga 40 tahun di seluruh negara menunjukkan penurunan kepada 5.3 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding 5.9 peratus dalam tempoh sama tahun lepas,

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peratusan itu menunjukkan bilangan penganggur pada suku pertama tahun ini adalah seramai 585,000 orang, menurun berbanding 627,000 orang bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Jumlah ini dijangka terus menurun sekiranya kita mengambil tahu dan mengambil peduli pelbagai inisiatif serta program yang tersedia untuk belia," katanya di sini.

 Ismail berkata bagi memastikan angka pengganguran belia terus menurun, kerajaan antara lain melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) memberi tumpuan lebih kepada pertanian bandar.

Beliau berkata usaha itu merupakan strategi bagi meningkatkan penglibatan belia dalam sektor agromakanan selain Program Agropreneur Muda.

Sejumlah 8,000 usahawan muda telah menerima bantuan meliputi geran, pembiayaan, serta kursus jangka masa pendek, khidmat nasihat teknikal dan kewangan.

(Ismail hadir pada perasmian Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan)

"Agro makanan dapat memberi pendapatan lumayan kepada pengusahanya jika ia diurus dan diusahakan secara bersungguh-sungguh menggunakan teknologi terkini. Ia dapat menjamin kualiti pengeluaran yang boleh dieksport bagi membantu menambahkan hasil negara. Penglibatan belia dalam agromakanan akan diperkasa melalui program Agro Job Fair di MAHA 2022 bulan depan. yang menawarkan 5,000 peluang pekerjaan oleh syarikat yang menyertainya. Saya menyeru graduan berminat serta golongan belia untuk merebut peluang pekerjaan dalam program ini," katanya lagi.

Ismail berucap merasmikan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran di sini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan Presiden Majlis Belia Malaysia Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Bertemakan 'Ini Masa Kita’, sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan yang diadakan selama tiga hari bermula semalam, menyediakan pelbagai acara antaranya sukan bola jaring, badminton, silat, pameran, Karnival Kerjaya Belia dan Forum Ad-Deen.



Media Baharu