fb fb fb fb fb

Jumlah penerima BSH anggota ATM ditambah kepada 15,000 veteran

ALOR GAJAH, 4 Mac- 15,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen menerima Bantuan Sara Hidup tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, jumlah itu meningkat berbanding 9,000 orang penerima tahun lalu.

Beliau berkata, bantuan berkenaan bukan hanya disalurkan kepada veteran ATM malah balu dan anak mereka.

Katanya, pihaknya sentiasa mengambil peduli bukan sahaja berkaitan isu-isu kebajikan dan kesihatan veteran ATM, malah pendidikan anak-anak mereka.

"Walaupun tiada kenaikan bantuan bulanan, kementeriannya memutuskan menambah bilangan penerima bagi memastikan mereka yang layak dapat menikmati manfaat terbabit.

“Sekarang kita (Kementerian Pertahanan) bayar RM300 sebulan. Jadi untuk setahun, sekitar RM3,600 dan bagi yang tidak dapat pencen, bantuan RM300 (sebulan) ini dapat meringankan beban mereka. 

"Paling utama kita akan sentiasa melihat kepada kumpulan sasar dan berusaha meningkatkan lebih banyak bantuan merangkumi pendidikan, kesihatan dan kebajikan anggota veteran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Jelajah Program Peduli Veteran (PPV) membabitkan enam keluarga di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, sebanyak 40 rumah dijangka dibina secara percuma kepada anggota veteran yang daif di seluruh negara bagi tahun ini.

(Adly (kanan) menyampaikan bantuan pada Jelajah Program Peduli Veteran (PPV)

Katanya, bagi pendidikan anak-anak anggota veteran di universiti, turut disediakan bantuan RM1,500 sebagai permulaan pengajian peringkat Ijazah.

Tambahnya, juga bagi menjaga aspek kebajikan, kesihatan, pendidikan serta keperluan anggota iaitu bantuan turut disalurkan berupa susu, makanan dan lampin pakai buang yang merupakan inisiatif dalam menjaga kebajikan veteran yang mengalami masalah kesihatan.

Media Baharu