fb fb fb fb fb

Faktor cuaca punca pelancong terkandas di Pulau Tioman, perlu bantuan segera

ROMPIN, 4 Mac- Hampir 500 pelancong tempatan dan antarabangsa termasuk penduduk tempatan yang berulang-alik, terkandas di Pulau Tioman berikutan keadaan cuaca buruk ketika ini.

Ia ekoran jadual perjalanan pulang mereka terpaksa dilanjutkan susulan ketiadaan laluan perjalanan feri atau bot keluar masuk dari pulau peranginan itu sehingga 6 Mac ini.

Ahli Dewan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain memohon kerajaan Persekutuan dan negeri mencari alternatif segera membawa keluar pelancong yang terkandas memandangkan ada di antara mereka sudah terlepas tiket perjalanan pulang ke negara masing-masing.

Justeru katanya, antara alternatif sesuai adalah menggunakan aset seperti kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau kapal besar bagi membawa pulang mereka yang terkandas seperti mana yang dilakukan sebelum ini.

"Jadi, situasi ini telah menyebabkan pelancong terkandas dan terlepas perjalanan pulang berpunca daripada faktor cuaca semasa. Ini juga akan menjejaskan bajet serta kewangan mereka kerana terpaksa kekal di sana lebih dari waktunya.

Harapan saya agar isu ini kita boleh selesaikan dengan kadar segera. Mungkin melalui bantuan agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB)," kata Johari ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pianggu, di sini.


(Foto Hiasan)

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Khamis lalu, mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori tiga serta ombak melebihi 4.5 meter di perairan Tioman yang berlarutan sehingga Isnin, 6 Mac.

Media Baharu