fb fb fb fb fb

Jumlah penduduk terjejas banjir di Selangor kekal

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 27 November - Situasi banjir di Selangor tidak berubah dengan jumlah penduduk terjejas banjir kekal seperti semalam iaitu 83 orang daripada 29 keluarga di daerah Kuala Selangor yang ditempatkan di dua PPS setakat 8.00 pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana JKM, dua PPS tersebut adalah Balai Raya Rantau Panjang membabitkan 47 orang dan PPS Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz yang menempatkan 36 orang.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan Sungai Bernam di Kampung Sungai Selisek, Hulu Selangor melebihi paras bahaya dengan ketinggian air 27.63 meter, namun dalam trend menurun setakat 8.00 pagi.

Tiga sungai di Selangor kini pada tahap waspada membabitkan Sungai Bernam di Jambatan SKC, Hulu Selangor dengan ketinggian aras air 18.27 meter dan Sungai Langat di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sungai Manggis di Kuala Langat (2.5 meter) dengan kedua-dua aras sungai itu dalam trend menaik, manakala Sungai Selangor di Rantau Panjang, Kuala Selangor pada ketinggian 7.09 meter dalam trend menurun.

TETITIA YUSOFF