KUALA KRAI, 27 November- Seorang bayi lelaki rentung selepas kereta yang dinaikinya bersama dua lagi mangsa terbabas sebelum melanggar tiang lampu dan terbakar di sini, Kelantan, awal pagi tadi.
Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fadzil Musa berkata, nahas berlaku sekitar pukul 4.04 pagi di Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai dan BBP Sungai Durian bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kejadian.
"Terdapat tiga mangsa iaitu seorang lelaki dewasa yang melecur seluruh tubuh, seorang perempuan mengalami cedera ringan dan seorang lagi mangsa adalah bayi lelaki.
"Bagaimanapun, bayi tersebut dijumpai rentung di dalam kereta itu akibat terperangkap," katanya dalam kenyataan.
Mohd Fadzil berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala kedua-dua mangsa cedera diserahkan kepada petugas perubatan untuk rawatan lanjut.