fb fb fb fb fb

Jumlah penduduk terjejas banjir di Johor meningkat

KOTA TINGGI,14 Disember- Bilangan penduduk terjejas banjir di Johor meningkat kepada 129 orang setakat pukul 2.00 petang tadi, berikutan pertambahan dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Kota Tinggi.

PPS dibuka di Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Muafakat Bandar Penawar, menempatkan 68 orang.

Manakala situasi banjir di Segamat tidak banyak berubah dengan kedua-dua PPS masih beroperasi menempatkan 57 orang.

Secara keseluruhan, 129 penduduk terjejas ditempatkan di semua empat PPS di Johor setakat ini.

Seorang penduduk Kampung Muhibbah, Kota Tinggi, Rozita Alias berkata, air naik terlalu cepat namun dia dan kelurganya sudah membuat persiapan awal menghadapi banjir.

Insiden menyebabkan dia bersama tiga lagi ahli keluarganya terperangkap sebelum berjaya dipindahkan bomba ke Dewan Sukan Kampung Muhibbah.

"Hujan lebat dari pagi ke malam dan bertembung dengan air pasang menyebabkan air naik dengan cepat," katanya ketika ditemui pemberita di sini.



(Foto BERNAMA)

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Sufian Dahari berkata pemantauan dipergiat di kawasan berisiko sekitar mukim Tanjung Surat, berikutan jangkaan air pasang besar 5 petang nanti.

"Mengikut jadual air pasang surut, keadaan air boleh menjadi teruk jika hujan berterusan dan lebat. Bomba akan terus melakukan pemantauan untuk memastikan penduduk selamat," katanya.

Antara lokasi berisiko di Kampung Lepau, perkampungan Bayu Damai dan kampung-kampung berhampiran pantai.

Media Baharu