KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Jumlah miskin tegar berkurangan kepada 129,395 isi rumah setakat 30 September 2022, berbanding 260,000 pada 31 Oktober tahun lalu.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pengurangan jumlah isi rumah miskin tegar disokong pemulihan secara beransur-ansur ekonomi negara berikutan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan pengenalan lapan pakej rangsangan ekonomi.
Komited memastikan angka itu terus berkurangan, jelasnya Program Basmi Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) akan diperkasa dengan penggunaan kaedah bersesuaian mengikut lokaliti.
Antaranya, mendidik pemikiran ke arah keusahawanan, mengawal kos dan kemahiran yang lebih baik dalam usaha mengubah kehidupan mereka yang terlibat.
(Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed)
"Sekarang ini kita baru bermula, kita jangka pemantauan pertama akan dibuat pada Disember. Sekarang projek baru mula, peringkat awal..jadi kita bagi sebulan, pemantauan kita buat setiap bulan.
"Setiap program kita ada 74 lokasi, pasukan akan diketuai oleh Pegawai Daerah atau Penolong Pegawai Daerah", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Hari Antarabangsa Yayasan Sejahtera Bagi Pembasmian Kemiskinan 2022, IDEP 2022 di ibu negara.
BMTKM menyasarkan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025 melalui pendekatan seluruh negara yang menampilkan pemantauan berkala.