KELANA JAYA, 18 Oktober- Usaha menyelaras fungsi setiap agensi berkaitan gerakan koperasi perlu diperkukuh demi memastikan sektor tersebut dapat terus menyumbang kepada sosioekonomi negara.
Hasrat itu selari Aspirasi Koperasi Malaysia (AsKOM) yang mengiktiraf peranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sebagai badan induk gerakan koperasi di Malaysia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar menyeru transformasi dilakukan supaya gerakan itu lebih berdikari, berdaya saing dan relevan.
Antara yang dicadang, penubuhan bursa saham khusus untuk gerakan koperasi.
"Satu hari nanti akan wujud bursa saham untuk koperasi. Jadi akan lebih banyak orang berminat untuk melabur dalam koperasi," kata Noh kepada RTM selepas merasmikan Konvensyen Aspirasi Koperasi Malaysia, di sini.
(Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar dalam satu sidang media menjelaskan perkara berkenaan
selepas merasmikan Konvensyen Aspirasi Koperasi Malaysia, hari ini)
Beliau turut mencadangkan usaha mempromosi produk keluaran koperasi diperhebat menerusi penggunaan logo "Co-op Sejak 1922".
Logo diselia oleh SKM itu mengiktiraf produk keluaran gerakan koperasi yang setanding produk berjenama di pasaran.