fb fb fb fb fb

Aplikasi 'Reading Progress', tingkat kemahiran dan penguasaan Bahasa Inggeris murid - KPM

SHAH ALAM, 18 Oktober- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membangunkan projek rintis penggunaan aplikasi 'Reading Progress' di 576 sekolah melibatkan 1,188 guru di dalam dan luar bandar seluruh negara.

Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin optimis, projek rintis itu berpotensi meningkatkan kemahiran dalam aspek sebutan dan memperluaskan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

"Ia merupakan satu pendekatan murid-murid akan merekodkan audio dan video atau kedua-dua apabila membaca dalam Bahasa Inggeris dan sistem ini membantu mereka mengenali perkataan dan sebutan betul dan sebagainya. Ini akan dapat membantu murid mengenal perkataan baharu dan struktur ayat yang lebih baik," kata Radzi dalam sidang media selepas "Majlis Pelancaran Inisiatif Reading Progress Di Sekolah KPM ", di sini.


(Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin sempat mengunjungi ruang pempamer
sempena Majlis Pelancaran Inisiatif Reading Progress Di Sekolah KPM, di Shah Alam)

Aplikasi berkenaan juga akan memudahkan guru membuat penilaian tahap kemampuan pelajar dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.

Ia sekali gus dapat merangka intervensi lebih awal untuk murid yang bermasalah dalam menguasai bahasa itu.

Tambah beliau, ia merupakan sebahagian daripada usaha yang dilaksana KPM ke arah pendigitalan sektor pendidikan.

KPM juga akan meneliti ruang penambahbaikan aplikasi itu menerusi maklum balas guru, sebelum ia diperluas di seluruh negara sebelum sesi persekolahan tahun depan bermula.

Media Baharu