fb fb fb fb fb

Jumlah kenderaan semakin bertambah di laluan Gua Musang

(FOTO RTM)

GUA MUSANG, 19 April-Jumlah kenderaan dilihat semakin meningkat di laluan pintu masuk ke Kelantan di pusat bandar Gua Musang dengan kenderaan perantau yang pulang untuk bercuti sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan RTM di jalan alternatif Gua Musang-Kuala Lipis mendapati, jumlah kenderaan bertambah sejak pagi tadi, namun trafik masih lancar dan terkawal.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, berdasarkan pemantauan oleh pihak trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang mendapati berlaku pertambahan kenderaan dari arah Kuala Lumpur menghala masuk ke Kelantan.

Katanya keadaan trafik masih lagi lancar dan menjangkakan berlakunya pertambahan jumlah kenderaan masuk ke Gua Musang bermula petang ini (Rabu).

"Pihak Polis ingin menasihatkan pengguna jalan raya agar bersabar dan berhati-hati bagi menghadapi kesesakan di Gua Musang.

Pada masa sama, pengguna juga harus memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini", katanya selepas Program Penyampaian Bantuan Aidilfitri kepada warga IPD Gua Musang di sebuah pasar raya di Gua Musang. 

Sebelum ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah  melaksanakan penyuraian trafik di laluan alternatif jalan Gua Musang-Kuala Lipis bermula  15 April sehingga 2 Mei ini bagi melancarkan perjalanan susulan pertambahan kenderaan sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool berkata, penyuraian trafik dengan menjadikan sebahagian daripada laluan tersebut sebagai satu hala sekali gus memberi kelegaan kepada anak Kelantan dari Lembah Klang untuk pulang beraya.


(Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo)

Media Baharu