ALOR SETAR, 1 November - Sambutan Jubli Emas Masjid Al-Ihsan Tongkang Yard dilihat sebagai platform untuk mengimarahkan masjid selain menjadi wadah memperkukuh hubungan masyarakat dengan institusi masjid serta menarik minat golongan muda mendekati ilmu dan kerja kebajikan.
Imam Masjid Al-Ihsan Mohd Fitri Hafizan Ahmad Kamal berkata, ia juga bagi menyemarakkan semangat kecintaan terhadap Islam serta meningkatkan keprihatinan masyarakat terhadap isu kemanusiaan sejagat.
"Masjid Al-Ihsan Tongkang Yard turut menjadi model keharmonian antara kaum dan agama, apabila komuniti bukan Islam di kawasan berkenaan turut berkongsi kemudahan seperti kawasan parkir dan menjalin hubungan baik dengan pihak masjid.
"Situasi ini menggambarkan contoh integrasi sosial yang harmoni dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat setempat," kata Mohd Fitri Hafizan Ahmad Kamal.
Pada sambutan itu, Program Kuliah Dhuha Perdana turut menampilkan dua penceramah jemputan adik-beradik Heliza Helmi dan Hazwani Helmi, yang juga sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Dalam sesi kuliah tersebut, kedua-dua penceramah berkongsi pengalaman mereka menyantuni mangsa peperangan di bumi bergolak, di samping menyampaikan mesej pengorbanan, kesyukuran dan keteguhan iman dalam menghadapi ujian kehidupan.
