fb fb fb fb fb

Jualan Rahmah ringankan beban, kini terus ke rumah panjang

Program Jualan Rahmah Rumah Panjang Ringgit Unam, Nanga Sebilat turut dipantau pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kapit

KAPIT, 26 September - Penduduk Rumah Panjang Ringgit Unam, Nanga Sebilat, tidak melepaskan peluang membeli barangan asas pada harga mampu milik apabila program Jualan Rahmah dibawa terus ke depan pintu rumah mereka.

Inisiatif berkenaan membuktikan komitmen kerajaan meringankan beban rakyat bukan sahaja di bandar, malah turut dirasai penduduk luar bandar.

Tuai Rumah, Ringgit Unam menzahirkan penghargaan kerana rumah panjang mereka dipilih sebagai lokasi, sekali gus memudahkan penduduk mendapatkan barangan tanpa perlu ke bandar.

“Bukan hanya penduduk di sini menikmati harga berpatutan, malah jiran dari rumah panjang sekitar turut mendapat manfaatnya. Jualan Rahmah ini benar-benar meringankan beban isi rumah,” katanya.

Program yang berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 3 petang itu turut dipantau pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kapit bagi memastikan harga barangan ditawarkan kekal terkawal dan jualan berjalan lancar.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE