BINTULU, 26 September - Simposium Kajian Tindakan dan Project Based Learning (PBL) STEM Bersepadu 2.0 peringkat Daerah Bintulu 2025 menjadi wadah penting untuk memperkasa budaya inovasi dan kreativiti guru dalam melahirkan generasi berdaya saing.
Bertemakan “Kelestarian Kecemerlangan Pendidikan dalam Bidang STEM dan TVET”, simposium tersebut menampilkan pelbagai hasil kajian tindakan yang dibentangkan oleh para pendidik sebagai usaha meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Ts. Johnny Pang, berkata platform seumpama itu bukan sahaja mencungkil kreativiti murid, malah mencerminkan komitmen tinggi warga pendidik Bintulu dalam memperkukuh budaya ilmu.
“Saya yakin program ini dapat melahirkan generasi berfikiran kritis, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0. Inilah pelaburan pendidikan sebenar yang membentuk modal insan sebagai tonggak kemajuan negara,” katanya ketika merasmikan simposium berkenaan, pagi tadi.
Kejayaan penganjuran kali ini sekali gus mengangkat peranan guru sebagai agen perubahan, selain memperkukuh ekosistem pendidikan berteraskan STEM dan TVET di daerah Bintulu.