MELAKA, 16 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Jualan Rahmah Bergerak menerusi konsep 'Kedai Cari Rakyat' di seluruh negara secara lebih kerap bagi mempermudah rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata setakat ini Jualan Rahmah Bergerak dilaksanakan di 78 lokasi di seluruh negara sejak dilancarkan di Pulau Pinang pada 17 hingga 30 Jun lepas, manakala Melaka membabitkan lima lokasi sejak 22 Jun lepas.
"Sebelum ini pelaksanaan Jualan Rahmah tertumpu di premis peruncitan seperti pasar raya dan kedai runcit tetapi menerusi Jualan Rahmah Bergerak yang menggunakan konsep 'Kedai Cari Rakyat', inisiatif ini akan mencari rakyat dan lokasi yang sesuai.
"Pada Mac lepas, Parlimen meluluskan RM100 juta bagi pelaksanaan Jualan Rahmah di seluruh negara dan pada awalnya kita (KPDN) banyak melaksanakannya di dalam premis dan luar premis, namun akan datang kita sasarkan untuk laksanakan sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri di setiap negeri," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Turun Padang dan merasmikan Jualan Rahmah Bergerak di Pasar Malam Pantai Puteri yang turut dihadiri Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar.
Fuziah berkata, menerusi konsep 'Kedai Cari Rakyat' berkenaan, pelaksanaan Jualan Rahmah dilihat mendapat sambutan lebih baik dan meluas kerana medium jualan murah berkenaan bergerak ke kawasan strategik dan lebih banyak golongan sasar dapat menikmati faedah berkenaan.
Beliau berkata Jualan Rahmah Bergerak menawarkan harga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran melibatkan lebih 15 barangan keperluan atau barangan dapur.
Katanya menerusi inisiatif konsep 'Kedai Cari Rakyat', kos penganjuran Jualan Rahmah dapat diminimumkan dan lebih banyak subsidi dapat disalurkan kepada rakyat sekali gus meringankan beban kos sara hidup ditanggung mereka.
Dalam pada itu, beliau berkata Jualan Rahmah termasuk Jualan Rahmah Bergerak yang dilaksanakan di Melaka sejak Jun lepas merekodkan hasil jualan lebih RM1.2 juta dan memanfaatkan lebih 100,000 pengunjung.
"Daripada jumlah itu, sebanyak RM195,569.40 direkodkan hasil jualan Jualan Rahmah Bergerak menerusi konsep 'Kedai Cari Rakyat' dengan jumlah pengunjung kira-kira 6,500 orang," katanya.-BERNAMA