PELABUHAN KLANG, 19 Januari- Jualan kenderaan elektrik (EV) dijangka meningkat dua kali ganda tahun ini.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ia berdasarkan minat ketara dipamerkan pemain industri terhadap kenderaan berteknologi tinggi itu.
"Penjualan kenderaan elektrik telah naik hampir 200 peratus dan kita menjangkakan tahun ini ia akan naik lagi, semua terpulang pada keseluruhan ekosistem EV itu sudah bersedia juga, kerana dua perkara yang kita perlu fokus buat masa ini, selain daripada penjualan kereta EV ialah pengecas EV juga.
"Lebih 1,500 stesen pengecas yang telah ada di Malaysia dan kita perlu tingkatkan supaya rakyat lebih selesa", katanya selepas merasmikan Pembukaan Kilang Pemasangan Kenderaan Elektrik, milik Syarikat Tron Brandbury Energy Malaysia Sdn Bhd di Pulau Indah, Selangor.
Sementara itu, peruntukan bagi Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) yang menawarkan rebat sehingga RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik Disember lalu, telah digunakan sepenuhnya.
Sehubungan itu, MITI akan memohon lanjutan skim tersebut dan tambahan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.