fb fb fb fb fb

Rancang jadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan kapal persiaran antarabangsa - Anthony

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berucap pada Majlis Pelancaran Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan pelayaran antarabangsa pertama kapal Costa Serena di Port Klang Cruise Terminal (PKTC) Pulau Indah hari ini/FOTO BERNAMA

KLANG, 19 Januari - Pelabuhan Klang akan dijadikan sebagai pelabuhan utama kapal persiaran antarabangsa yang mampu melonjak sektor pelancongan sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, kata Menteri Pengakutan Anthony Loke.  

Anthony berkata, usaha sedang giat dilakukan bagi mendapatkan maklum balas daripada pemain industri berhubung langkah fasilitasi untuk menarik lebih banyak kapal persiaran berlabuh di Malaysia.

"Apabila sesebuah kapal persiaran menjadikan pelabuhan kita sebagai tuan rumah, bererti penumpang perlu daftar masuk dan keluar.

"Dari sudut pelancongan misalnya ini akan menarik ramai pelancong asing ke Malaysia kerana untuk ke pelabuhan mereka akan masuk melalui udara dan perlu tinggal selama beberapa hari sebelum dan selepas pelayaran.

"Kesempatan itu juga digunakan mereka untuk meneroka negara kita," katanya pada sidang media selepas perasmian pelabuhan pelayaran antarabangsa pertama negara, Costa Serena di sini, hari ini.

Terdahulu, Costa Cruises yang sinonim dengan pelayaran mewah Eropah menjalinkan kerjasama bersejarah dengan menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan pelayaran antarabangsa pertamanya di Malaysia.

"Costa Serena mendapat persijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk sebahagian kapal ini yang mesra Muslim.

"Ini bagi memudahkan pelancong Islam menjamu selera di dalam pelayaran tanpa perlu risau kerana merekan akan mempunyai pilihan untuk restoran halal.

"Tidak seperti kapal pelayaran antarabangsa lain yang sukar mendapatkan restoran halal," katanya.

Tambahnya, Malaysia akan menyertai Persidangan Kapal Persiaran Dunia di Miami, November depan untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi persinggahan pilihan industri kapal persiaran.

GRACE AISYAH KEDAYAN