KLANG, 19 JANUARI - Kementerian Pengangkutan belum menerima sebarang maklum balas negatif daripada pemain industri perdagangan berhubung kenaikan kos logistik susulan konflik Laut Merah.
Menterinya Anthony Loke berkata, pihaknya akan terus memantau rapat perkembangan yang berlaku di Laut Merah.
Katanya, perbincangan bersama pemain industri import dan eksport akan dilakukan dari semasa ke semasa sebagai langkah mitigasi berhubung situasi tersebut.
“Kami belum terima maklum balas negatif baik daripada pengimport mahu pun pengeksport.
"Kami harap ini hanya untuk sementara waktu kerana situasi di sana sangat tegang, dan saya rasa terdapat usaha dari negara lain untuk cuba mendapatkan kawalan keselamatan yang lebih baik di sana," katanya selepas majlis perasmian pelabuhan pelayaran antarabangsa pertama negara, kapal Costa Serena di Port Klang Cruise Terminal (PKTC) di sini hari ini.
Pada 15 Januari lalu, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menggesa syarikat perkapalan Malaysia bersedia menghadapi gangguan berpanjangan yang berlaku di Laut Merah.
Ini berikutan krisis keselamatan semakin buruk di rantau itu sehingga memaksa syarikat kapal melencong ke laluan yang lebih jauh.