fb fb fb fb fb

Jual bayi, bekas guru tuisyen mengaku tidak bersalah

GEORGE TOWN, 13 Disember- Seorang bekas guru tuisyen mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan nilai RM12,000 hasil daripada aktiviti penjualan bayi di Mahkamah Sesyen Jenayah, pagi tadi.

Tertuduh, Jamaliah Ahmad, 62 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah menerima wang tunai berjumlah RM12,000 hasil penjualan bayi daripada pasangan suami isteri yang berminat mengambil bayi tersebut sebagai anak angkat pada 15 Disember tahun lepas di lobi sebuah hotel di Jalan Penang.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Hariss Ong Jeffery Ong dan tertuduh diwakili peguam, Md. Yusuf Md. Idris.

Hakim Mazdi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap 1 hari bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sepanjang kes berlangsung.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Januari tahun depan.


(Foto Hiasan)

Media Baharu