fb fb fb fb fb

JPS kenal pasti 119 kawasan 'hotspot' banjir di Kedah

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kedah, Ir Ahmad Solihin Burdarto / Foto RTM

ALOR SETAR, 18 November - Banjir dijangka berlaku di beberapa daerah di negeri Kedah bermula esok hingga Jumaat ini.

Ia susulan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Menurut Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, Ir Ahmad Solihin Budarto, banjir dijangka boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.

Terdapat 119 kawasan yang disenaraikan sebagai kawasan ‘hotspot’ atau berisiko banjir.

"Ia melibatkan Lembangan Sungai Kedah iaitu Sungai Bata dan Sungai Temin di Kubang Pasu; Sungai Nawa di Pokok Sena; Sungai Padang Terap dan Sungai Pedu di Padang Terap; Sungai Padang Kerbau dan Sungai Pendang di Pendang; serta Sungai Anak Bukit di Kota Setar."

Di Lembangan Sungai Muda pula, kawasan terlibat ialah Sungai Chepir di Sik; Sungai Ketil, Sungai Kupang, Sungai Ulu Legong dan Sungai Ketil Hulu di Baling; serta Lembangan Sungai Muda dan Lembangan Sungai Merbok melibatkan Sungai Petani di Kuala Muda. " 

"Manakala Lembangan Sungai Padang Terap melibatkan Sungai Yan di Yan; Lembangan Sungai Kulim melibatkan Sungai Perai di Kulim; dan Lembangan Sungai Kerian melibatkan Sungai Selama dan Sungai Relau di Bandar Baharu; serta Lembangan Sungai Melaka melibatkan Sungai Padang Matsirat di Langkawi."

Amaran dikeluarkan bagi membolehkan penduduk berwaspada dan membuat persediaan awal serta mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.

JPS Kedah akan membuat pemantauan berterusan dan mengemaskini hebahan amaran banjir sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan sungai tersebut.

EMMI NORALIZA ADNAN