fb fb fb fb fb

Pulau Pinang siap siaga hadapi risiko banjir

Banjir di Pulau Pinang / Foto BERNAMA

GEORGE TOWN, 18 November - Kerajaan negeri memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada paras optimum susulan amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), termasuk persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya banjir.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Long, kesemua lima Pegawai Daerah di Pulau Pinang kini berada pada tahap berjaga-jaga susulan kemungkinan berlakunya banjir.

Kerajaan negeri juga bersiap sedia menggerakkan semua aset bantuan dan keselamatan bagi memastikan kehidupan penduduk tidak terjejas, khususnya di 20 lokasi berisiko yang dikenal pasti di seluruh negeri.

“Untuk makluman, kita telah mewujudkan Kumpulan WhatsApp Bencana Negeri yang melibatkan semua Pegawai Daerah, Jabatan Kerja Raya dan Pihak Berkuasa Tempatan. Melalui kumpulan ini, MetMalaysia akan memberikan kemas kini setiap jam berkaitan keadaan hujan, ketepatan ramalan serta kawasan yang berisiko terjejas.

"Segala tindakan dan gerak kerja pengurusan bencana di peringkat negeri akan diselaras berdasarkan maklumat yang dikongsikan dalam kumpulan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kaedah Pemantauan Isu Denggi di perkarangan Dewan Undangan Negeri.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran kemungkinan bencana banjir di 20 kawasan berisiko tinggi berikutan permulaan Monsun Timur Laut.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN