JASIN, 23 April- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi memastikan orang asli mendapat dokumen pengenalan diri.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, orang asli juga adalah salah satu daripada sasaran JPN dan pihaknya akan turun padang secara berkala untuk memastikan mereka mendapat dokumen pengenalan diri.
"Jadi tindakan kita buat kerjasama dengan pihak JAKOA, dengan pihak ketua- ketua masyarakat orang asli, Tok Batin dan sebagainya supaya mereka sedar bahawa kepentingan dokumen pendaftaran ini terutamanya kad pengenalan dan juga surat lahir itu perlu ada pada mereka sekiranya mereka itu adalah rakyat Malaysia. Saya tidak mahu lagi rakyat Malaysia yang tercicir dalam erti kata lain tiada punyai dokumen sedangkan mereka itu layak dapat dokumen," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Kongsi Rezeki Ramadan dan mengagihkan kira-kira 900 bekas bubur lambuk di depan pejabat JPN Jasin yang turut dihadiri Pengarah JPN negeri Norazle Sulaiman.
(Ruslin (kiri) menyempurnakan gimik perasmian program Kongsi Rezeki sempena Ramadan di pejabat JPN Jasin semalam)
Dalam pada itu beliau juga menyatakan JPN mempunyai tiga bas bergerak yang dilengkapi dengan mesin pencetak MyKad dan membolehkan proses gantian MyKad hanya mengambil masa 30 minit sahaja.
Bas tersebut ditempatkan masing-masing di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Menurutnya , Bas Bergerak JPN ini adalah salah satu penambahbaikan yang dilaksanakan bagi memudahkan mereka yang berada di kawasan pedalaman dan kepada penduduk terjejas banjir untuk mendapatkan dokumen diri dengan cepat.
Sejak 2019, JPN telah menerima lebih 50,000 permohonan urusan kad pengenalan dan sijil kelahiran menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).
Dalam perkembangan lain, JPN juga katanya sedia memberikan khidmat nasihat dan bantuan kepada mana-mana pihak yang berdepan masalah membabitkan isu dokumentasi kelahiran, kematian, warganegara dan pendaftaran bagi kes rumit.
Ruslin berkata ia termasuk kes membabitkan pengacara dan bekas penyampai radio Halim Othman yang menyaksikan identiti anak perempuannya tidak berbintikan nama beliau.
"Bagi kes seumpama ini, mereka boleh hadir ke ibu pejabat JPN Putrajaya dan membawa dokumen berkaitan untuk kita semak dan berikan khidmat nasihat dalam menyelesaikan isu rumit yang dihadapi mereka ketika ini.
"Mereka boleh datang kepada kita untuk merujuk isu ini dan membawa dokumen misalnya jika ada sijil perkahwinan yang didaftar di Thailand, jika betul dokumen itu boleh kita buat pengesahan dan sebagainya kerana tanpa dokumen seperti ini, kita sukar bantu namun apa yang penting adalah khidmat nasihat yang diberikan," katanya.