fb fb fb fb fb

Institut Endokrin fasiliti terbaharu KKM

(Khairy (tengah) menyaksikan Majlis Penyerahan Institut Endokrin Hospital Putrajaya di Putrajaya, hari ini)

PUTRAJAYA, 22 April - Kementerian Kesihatan menerima secara rasmi projek Blok Tambahan Hospital Putrajaya yang menempatkan Institut Endokrin dari Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ia merupakan pembinaan institut yang pertama seumpamanya di Malaysia dalam bidang endokrinologi.

Jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin keperluan dan permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan rawatan di Unit Endokrin Hospital Putrajaya dan juga di seluruh negara telah menyumbang kepada idea penubuhan Institut tersebut.

Pembinaannya adalah selaras dengan tekad kerajaan untuk memperbaiki dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan khusus di bawah perkhidmatan perubatan endokrinologi di Malaysia.

"Blok ini telah diilhamkan pada tahun 2017. Sudah pasti antara penggerak utamanya adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham.

Ini antara projek yang sangat dinantikan oleh beliau dan saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih pada Tan Sri S. Subramaniam iaitu Menteri Kesihatan ketika itu yang juga telah mengilhamkan projek ini," katanya.

(Khairy Jamaluddin)

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran penyerahan Projek Bangunan Tambahan Blok Baharu Institut Endokrin Hospital Putrajaya, di sini hari ini.

Dokumen penyerahan ditandatangani Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkifly Sulaiman dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh sambil disaksikan Khairy.

Direka bentuk setinggi 10 tingkat, Institut Endokrin tersebut boleh memuatkan sebanyak 220 katil pesakit dengan kos keseluruhan projek bernilai RM348.7 juta.

Media Baharu