KUALA LUMPUR, 22 April - Sektor swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) diseru menggembleng tenaga dan memainkan peranan penting dalam melestarikan alam sekitar bersempena sambutan Hari Bumi Sedunia hari ini.
Ia sejajar fokus Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu mempercepatkan pertumbuhan hijau dengan memastikan pembangunan ekonomi tidak harus menjejaskan alam sekitar dan kawasan hijau perlu dipertahankan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata amalan menghindari penggunaan plastik dan penjimatan sumber tenaga perlu dijadikan kebiasaan dalam kehidupan seharian.
"Usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan hijau, mempertingkatkan kemampanan tenaga dan mentransformasikan sektor air harus kekal menjadi teras pembangunan sosioekonomi negara," katanya dalam hantaran di Facebook rasmi beliau.
Tambah Ismail Sabri lagi, kerajaan memberi komitment penuh untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 45% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030.
Ia selari dengan aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara rendah karbon.
"Saya sedar ini memerlukan usaha yang bersepadu serta komitmen dan pelaburan hijau yang tinggi.
"Namun, saya yakin dengan penglibatan Keluarga Malaysia, komitmen ini akan memastikan Malaysia seiring dengan usaha negara lain untuk mencapai matlamat global dalam menangani perubahan iklim dan meningkatkan daya saing negara," jelasnya.