fb fb fb fb fb

Projek naik taraf LRA Pelubang, Kubang Pasu telah bermula, dijangka siap 2024

ALOR SETAR, 23 April- Projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang di Kubang Pasu, Kedah yang bernilai RM431 juta berjalan lancar.

Ketika ini, kerja-kerja tapak telah pun bermula kira-kira dua peratus dan ia dijangka siap mengikut jadual yang ditetapkan pada tahun 2024.


(Kerja-kerja tapak Projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang telah pun bermula kira-kira dua peratus)

Pengerusi Bina Darulaman Bhd, (BDB), Che Had Dhali berkata,pihaknya yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri melalui Synergy BDB Sdn. Bhd. ditawarkan projek tersebut secara rundingan terus pada tahun lepas.

Beliau berkata, walaupun berdepan dengan kenaikan kos harga bahan binaan, namun pihaknya mempunyai pelan kontingensi.

Ia termasuk bekerjasama dengan syarikat berkemahiran untuk mempercepatkan usaha pembinaan projek mega rawatan air tersebut.

"Untuk menjalankan atau menggerakkan projek LRA ini kita juga telah jalin kerjasama dengan beberapa syarikat yang lain, Tulami Sdn Bhd dan Asia Baru untuk kita nak gerakkan. Sekarang ni perjalanan projek saya ingat berada pada tahap sebagaimana yang kita harapkan dan apabila saya masuk ke BDB bermula 1 Februari lalu saya sangat memberi penekanan kepada perkara ini," katanya.


(Pengerusi Bina Darulaman Bhd (BDB), Che Had Dhali)

LRA Pelubang adalah salah satu daripada lima LRA di Kedah yang dinaik taraf termasuk LRA Jenun Baru, Sungai Limau, Bukit Selambau dan Lubuk Buntar.

Pembinaan kelima-lima loji tersebut dijangka mampu mengatasi masalah gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di negeri itu sejak sekian lama.

Media Baharu