fb fb fb fb fb

Dadah pencetus jenayah lain di Malaysia

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail / BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 Mei– Dadah merupakan pencetus utama kepada kes jenayah lain di Malaysia.

Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut beliau, berdasarkan Pusat Sains Data Kementerian Dalam Negeri, individu yang terlibat bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, berpotensi besar untuk terlibat dalam puluhan jenayah lain.

“Kalau dia sudah terlibat dengan kesalahan bawah Seksyen 15(1) dia akan terlibat dengan 28 jenis jenayah lain. kalau dia terlibat dengan 12 (2) (Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952) dia akan terlibat dengan 11 jenayah lain. Kalau dia terlibat 15(1) dia terlibat dengan peras ugut jenayah rasuah segala macam.

"Ini bukan Saifuddin (Datuk Seri) bercerita. Ini data bercerita. Ia data segar," katanya ketika berucap dalam majlis minum petang bersempena peringatan Hari Antidadah 2025 di Putrajaya, hari ini.

Menurut Datuk Seri Saifuddin, senario itu membuktikan bahawa penagih atau pengedar dadah bukan hanya memberi ancaman terhadap diri sendiri dan keluarga, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan.

Iaitu melalui pelbagai bentuk jenayah seperti samun, peras ugut, rompakan, kecurian dan jenayah berat lain.

Beliau turut menekankan bahawa memerangi isu dadah memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak, dan bukan hanya dipertanggungjawabkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) semata-mata.

"Kita tak boleh buat kerja sorang-sorang. Narkotik saja tidak cukup. AADK saja tidak cukup. Seluruh kekuatan KDN pun tak memadai. Sebab itu hari ini sesi libat urus kita, kita minta semua yang ada keupayaan untuk tampil,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini fokus kepada pendekatan menyeluruh isu dadah, meliputi pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan secara serentak.

"Kita nak kuatkan pencegahan. Nak kukuhkan penguatkuasaan. Dan dalam masa sama, program pemulihan pun kita kena mantapkan,” katanya.

Tegasnya, pengumpulan data, penganalisisan secara saintifik, serta kolaborasi antara agensi dengan komuniti akan menjadi tunjang kepada strategi baharu ini.

Sesi libat urus itu turut dihadiri agensi-agensi penguat kuasa dan pakar bidang dadah, ahli akademik, dan pertubuhan masyarakat sivil yang terlibat secara langsung dalam usaha pencegahan dan pemulihan dadah.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID