JOHOR BAHRU, 16 Mei - Inisiatif mencantikkan dan menyeragamkan kawasan pasar malam di seluruh negeri Johor sedang dijalankan.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha itu bagi memberikan imej pasar malam yang tersusun dan bersih seterusnya meningkatkan imej negeri.
Antara elemen yang diberi penekanan dalam penyeragaman itu termasuk reka bentuk khemah yang digunakan para peniaga.
Katanya, pengoperasian Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) di Johor Bahru turut memainkan peranan untuk membawa pengunjung ke kawasan pasar malam sekitar negeri itu.
"Jika dilihat pada masa ini, jumlah individu yang keluar masuk melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua (Second Link) mencecah sekitar 300,000 orang sehari. Apabila projek RTS (Rapid Transit System) siap sepenuhnya tahun hadapan, angka tersebut dijangka meningkat kepada 450,000 orang sehari," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Insentif Khemah Usahawan Mikro Peringkat Daerah Johor Bahru di Taman Universiti, di sini.
Inisiatif yang dimulakan sejak tahun lalu itu telah memberi manfaat kepada 8,000 usahawan setakat ini, melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta.
Seramai 6,000 lagi usahawan dijangka akan turut menerima manfaat sama dalam masa terdekat.