KAJANG, 19 Disember -Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mewajibkan pemakaian kamera badan (BWC) dalam Operasi Perang Lebih Muatan sebagai langkah memperkukuh integriti, ketelusan dan keselamatan anggota penguat kuasa di lapangan.
Pengarah JPJ Negeri Selangor, Azrin Borhan berkata, pemakaian BWC yang berkuat kuasa sejak 15 Disember lalu memastikan setiap tindakan penguatkuasaan direkodkan secara telus dan mematuhi prosedur operasi standard.
“Rakaman visual dan audio melalui BWC berfungsi sebagai bukti sah, selain melindungi anggota daripada salah faham, tuduhan tidak berasas atau gangguan ketika menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Operasi Bersepadu Khas JPJ Selangor di sini, pada Khamis.
Operasi Perang Lebih Muatan dilaksanakan dari 14 Oktober hingga 31 Disember 2025.
Ia memfokuskan kenderaan perdagangan yang melanggar peraturan jalan raya, khususnya kes lebih muatan dan kegagalan mematuhi piawaian keselamatan.
Sehingga 17 Disember, JPJ Selangor mengeluarkan 39,555 notis atas pelbagai kesalahan, termasuk Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh, tiada lesen memandu kompeten, ketiadaan perlindungan insurans dan kes lebih muatan.
Dalam tempoh sama, 22 kenderaan disita kerana didapati melakukan kesalahan lebih muatan.
Operasi itu turut dijalankan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dilaksanakan secara menyeluruh.
Azrin menegaskan, penguatkuasaan bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya mendidik pengendali dan pemilik kenderaan perdagangan agar mematuhi peraturan.
Ia termasuk spesifikasi teknikal, had muatan dan standard keselamatan demi keselamatan pengguna jalan raya.
Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan berkaitan kenderaan perdagangan melalui aplikasi MyJPJ menerusi saluran e-Aduan@JPJ atau e-mel