fb fb fb fb fb

JPJ Perlis sita 80 kenderaan sejak Januari

Pengarah JPJ Perlis, Noraini Mohd Nawi/ BERNAMA

ARAU, 6 Oktober - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menyita 80 buah kenderaan pelbagai jenama termasuk tujuh buah kenderaan mewah bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga semalam di sekitar negeri Perlis menerusi Op Luxury.

Pengarah JPJ Negeri Perlis, Noraini Mohd Nawi, berkata kenderaan disita melibatkan pelbagai kesalahan terutamanya tiada cukai jalan dan perlindungan insurans yang sah serta pemiliknya tiada lesen memandu.
 
Beliau berkata daripada keseluruhan kenderaan disita, 49 buah daripadanya telah dilepaskan setelah pemilik atau pemunya berdaftar membayar semua kompaun tertunggak, memperbaharui cukai jalan dan insurans yang tamat tempoh, serta memenuhi mana-mana syarat lain yang ditetapkan oleh JPJ. 

"JPJ Perlis juga komited untuk memastikan pemilik kenderaan tidak kira nilai kenderaan mematuhi segala peraturan jalan raya. Pemilik yang lalai memperbaharui cukai jalan dan insurans bukan sahaja membahayakan kepada diri sendiri, tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Saya menyeru di peringkat JPJ Perlis kepada semua pemilik kenderaan termasuk kenderaan mewah agar sentiasa memastikan dokumen sentiasa dikemaskini", katanya.

Beliau berkata demikian dalam Siding Media Khas Kejayaan JPJ Perlis di Ibu Pejabat JPJ Negeri di Jejawi.
 
Tujuh buah kenderaan mewah berkenaan ditempatkan di depoh simpanan JPJ untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan-peraturan yang berkaitan.
 

ROSLINA BINTI DIN