SARATOK, 6 Oktober - Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki mencuri lampu dan panel solar yang dipasang di sebuah rumah burung walet di Pantai Tanjung Kembang, Kabong, di sini Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie memberitahu, ketika siasatan dijalankan, suspek berusia 41 tahun itu mengaku melakukan perbuatan terbabit.
"Dia mengaku mencuri barangan itu untuk dijual bagi mendapatkan bekalan dadah," katanya.
Menurut DSP Mathew, kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu disaksikan sendiri oleh pemilik rumah burung walet tersebut.
"Suspek bertindak melarikan diri dengan sebuah motosikal. Bagaimanapun dia berjaya diberkas oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah pada hari berikutnya.
"Suspek telah menunjukkan tempat menyimpan barangan yang dicuri di kediamannya di Kabong," jelasnya.
DSP Mathew memaklumkan keputusan saringan air kencing mendapati suspek positif dadah selain memiliki 4 rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.#