BUKIT MERTAJAM, 18 April- Program 'walkabout' Kempen Keselamatan Jalan Raya 'Kepulanganmu Dinanti' dilancarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, bersempena perayaan Aidilfitri.
Program selama tiga hari bermula semalam, memberi tumpuan kepada beberapa lokasi 'blackspot' kemalangan di negeri itu.
Exco Infastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata kesedaran pengguna jalan raya penting khususnya ketika musim perayaan bagi melancarkan perjalanan trafik.
Sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama melibatkan kemalangan maut.
"Objektif kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran pemgguna jalan raya berhubung keselamatan agar trafik sempena raya ini lancar dan selamat serta dapat menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan maut dalam negara kita," katanya.
(Exco Infastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari)
Beliau ditemui pada pelancaran program walkabout berkenaan di bazar Ramadan Taman Pauh Indah, di sini pada Isnin.
Sementara itu, Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata pihaknya memilih bazar Ramadan sebagai lokasi kempen berikutan tempatnya yang menjadi tumpuan pengguna jalan raya sama ada penunggang motosikal atau pemandu kereta.
Pada masa sama, memberi kelainan dalam usaha mendekati rakyat.
"Walkabout ini kita buat di bazar Ramadan yang mana tempat tumpuan penunggang, pemandu di sini.
"Kalau kita buat kempen seperti mana buat pelancaran sudah biasa, kita buat kelainan kali ini kita pilih tempat tumpuan orang dan kita edar risalah, dengan harapan ada kesedaran dalam kalangan pemandu dan pengguna jalan raya," katanya.