fb fb fb fb fb

Teliti keperluan wajib tayang animasi tempatan di saluran televisyen - Fahmi

(Foto Bernama)

CYBERJAYA, 18 April- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersedia meneliti keperluan untuk menetapkan kuota khas wajib tayang untuk syarikat televisyen menyiarkan animasi tempatan di saluran masing-masing.

Menteri KKD, Fahmi Fadzil berkata perkara itu dilihat dapat membantu pengkarya tempatan menonjolkan karya mereka di khalayak umum.

"Ini satu perkara yang saya secara dasarnya menyokong, saya rasa ada keperluan untuk kita meneliti kandungan digital yang dihasilkan dalam negara bukan hanya untuk kita jana atau terbitkan tetapi kita tayangkan dan pamerkan.

"Kalau dalam filem kita ada skim wajib tayang, mungkin bagi animasi dan beberapa perkara lain kita perlu pertimbangkan apa dasar bersesuaian bagi membantu hasil karya kandunganĀ digital ini untuk menonjolkan karya mereka kepada khalayak umum, terutamanya di Malaysia," katanya.

(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)

Beliau berkata demikian selepas sesi Town Hall Industri Kreatif Siri 2: Kandungan Digital dan Teknologi Kreatif, di sini pada Isnin.

Program anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu disertai hampir 400 peserta.

Turut hadir Timbalan Menteri KKD, Teo Nie Ching; Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz.

Dalam pada itu, Fahmi berkata perbincangan lanjut akan diadakan ekoran keluhan syarikat animasi tempatan mendakwa, syarikat televisyen enggan membeli karya mereka kerana harganya yang tinggi.

"Ini isu ekonomi, saya perlu adakan sedikit perbincangan lebih lanjut dengan semua pihak terbabit untuk faham.

"Berbeza dengan karya produksiĀ telefilemĀ atau produksi lain, memang animasi tidak boleh kita tolak realiti bahawa ia lebih memakan sumber, perlukan sumber besar dan sama ada stesen televisyen kita mampu atau tidak," tambah beliau.

Jelasnya lagi, kerajaan bersedia meneliti perkara yang boleh diusahakan untuk membantu para pengkarya mengeksport karya mereka.

Media Baharu