fb fb fb fb fb

JPJ Melaka keluarkan 529 saman dalam OPS HRA

(Muhammad Firdaus berkata antara kesalahan paling banyak dikesan dalam operasi
berkenaan ialah tiada cukai jalan dan insurans membabitkan 186 saman)

BANDARAYA MELAKA, 20 April- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan 529 saman melibatkan pelbagai kesalahan dalam Operasi Hari Raya Aidilfitri (OPS HRA) yang dijalankan bermula 18 April.

Menurut pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff, antara kesalahan paling banyak dikesan dalam operasi berkenaan ialah tiada cukai jalan dan insurans membabitkan 186 saman.

Ia diikuti kesalahan memandu tanpa lesen dan teknikal lain dengan 120 saman dikeluarkan selain 48 kesalahan utama yang tidak boleh dikompaun.

48 kesalahan itu , melibatkan 29 kesalahan melanggar lampu isyarat merah dan masing-masing 16 dan tiga notis saman ekoran tidak memakai tali pinggang keledar serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Fokus pemeriksaan turut ditumpukan kepada bas ekspres di depoh bermula 14 April  hingga 17 April lalu.

Ujarnya, seramai 127 pemandu bas ekspres telah menjalani ujian saringan air kencing dan kesemuanya didapati negatif.

(Muhammad Firdaus berkata JPJ Melaka keluarkan 529 saman dalam OPS HRA)

"Selain daripada pemeriksaan yang saya maklumkan tadi kita juga buat teknik penyamaran dalam bas. Kita menempatkan anggota kita dalam tempat tertentu yang dikenal pasti.

"Akan membuat pemeriksaan sekiranya berlaku contoh pemandu melanggar etika pemanduan, memandu laju ataupun menggunakan telefon bimbit kita akan mengambil tindakan di situ juga ke atas pemandu," kata Muhammad Firdaus dalam sidang media selepas menjalankan OPS HRA di Depoh Bas Melaka Sentral di sini.

Menurut beliau, bagi ops kali ini, fokus utama diberikan di tiga lokasi panas iaitu di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin,(AMJ) Lebuh Sungai Udang-Peringgit-Ayer Keroh,(SPA) dan Jalan Ayer Keroh lama.

Tambahnya, seramai 73 pegawai dan anggota terlibat dalam OPS itu yang bermula semalam hingga 27 April ini.

Media Baharu